PETALING JAYA: Sebanyak 122,423 kes denggi dengan 117 kematian direkodkan pada tahun lalu membabitkan penurunan kes dilaporkan berjumlah 0.6 peratus dan peningkatan kematian 17 peratus berbanding 2023.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah kes dilaporkan pada awal tahun lalu adalah melebihi 3,000 kes seminggu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi berkata, namun terdapat perkembangan positif apabila berlaku trend penurunan kes bermula
pada Minggu Epidemiologi ke-29 iaitu pada 20 Julai 2024.
Tambahnya, kini, purata kes mingguan telah menurun dengan ketara kepada sekitar 1,200 hingga 1,500 kes sahaja setiap minggu dan berada di bawah paras median lima tahun.
“Sehingga Minggu Epidemiologi ke-04 iaitu pada Sabtu lalu, secara kumulaitf, sebanyak 5,537 kes demam denggi dan tiga kematian telah direkodkan berbanding 14,458 kes dan sembilan kematian pada tempoh yang sama tahun lalu.
“Jumlah itu menunjukkan penurunan kes denggi sebanyak 61.7 peratus dan kematian sebanyak 66.7 peratus. Ia hasil daripada usaha bersepadu pelbagai pihak, termasuk kementerian, jabatan, agensi, sektor swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta masyarakat yang berganding bahu memastikan persekitaran sentiasa bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi memperkukuh pelaksanaan langkah-langkah pencegahan dan kawalan denggi melalui pendekatan menyeluruh, beberapa keputusan telah diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet menangani Denggi Bilangan 1/2025 dipengerusikannya.
Katanya, antara pendekatan diputuskan adalah semua kementerian, jabatan, agensi perlu memperkukuh inisiatif sedia ada dalam aktiviti pencegahan dan kawalan denggi serta mewujudkan inisiatif baharu berdasarkan kesesuaian melalui pendekatan Whole of Nation dan KKM bersedia memberi input teknikal jika diperlukan.
“Kerajaan negeri perlu mengambil maklum dan dapat mempertimbangkan inisiatif projek Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk dilaksanakan di negeri masing-masing.
“Usaha sama rakan strategik melibatkan Kerajaan negeri, sektor awam, swasta dan NGO diperkukuhkan sepenuhnya dalam membantu sukarelawan MyCHAMPION COMBI melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi terutamanya dari aspek sumber kewangan, modal insan dan peralatan yang berkaitan,” katanya.
Katanya, mesyuarat juga memutuskan untuk meneruskan kerjasama antara Bahagian Kawalan Penyakit (BKP), KKM, dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) dengan menambah baik sistem sedia ada berdasarkan keperluan semasa dan memanfaatkan teknologi terkini untuk memastikan pengurusan denggi yang lebih efektif.
“Terakhir, meneruskan pengoperasian pelepasan nyamuk Aedes Wolbachia dengan penambahan 10 lokaliti baharu setiap tahun serta memperluaskan di negeri-negeri lain,” katanya.
Pada masa ini hanya lapan negeri yang telah melaksanakan pelepasan nyamuk Aedes Wolbachia iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan.
Ahmad Zahid berkata, mesyuarat juga memutuskan penstrukturan tadbir urus sedia ada Jawatankuasa Kabinet di bawah KKM dengan menggabungkan tiga Jawatankuasa
Kabinet di bawah Kesihatan iaitu Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi, Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Jawatankuasa Khas
Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Kanak-Kanak.
“Jawatankuasa ini dikenali sebagai Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional yang akan diadakan sebanyak tiga kali setahun,” katanya.