Lawatan rasmi PM ke Belgium: Rundingan FTA Malaysia-EU dijangka diteruskan

Lawatan rasmi PM ke Belgium: Rundingan FTA Malaysia-EU dijangka diteruskan

FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Belgium selama dua hari dijangka membawa perkembangan positif berhubung usaha menghidupkan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang sudah lama terhenti.

Duta Besar Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah (EU), Datuk Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak berkata, rundingan FTA ini dilancarkan pada 2010 tetapi terhenti selepas tujuh pusingan pada 2012.

Beliau berkata, rundingan FTA itu terhenti akibat ketidaksetujuan Malaysia terhadap beberapa isu seperti minyak sawit, dasar pemerolehan, subsidi dan klausa kelestarian EU.

“Salah satu isu utama adalah diskriminasi terhadap minyak sawit termasuk dakwaan mengenai pembakaran terbuka dan buruh paksa,” katanya kepada media Malaysia, semalam.

Perdana Menteri yang baru sahaja mengakhiri lawatan kerja lima hari ke United Kingdom tiba di ibu kota de facto EU, Brussels untuk mengadakan pertemuan penting.

Mohd Khalid Abbasi berkata, Malaysia telah berusaha untuk menyelesaikan isu-isu yang menghalang kemajuan perundingan termasuk memperkenalkan standard Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). 

Selain itu, import minyak sawit EU dari Malaysia juga mencatatkan aliran peningkatan yang ketara.

Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), EU mengimport sebanyak 646,819 tan metrik minyak sawit dari Malaysia pada separuh pertama 2024, peningkatan sebanyak 22 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.

Namun, katanya, ia merupakan proses yang sukar untuk berunding dengan 27 negara dalam blok berkenaan, tetapi keadaan kini semakin berubah ke arah positif.

Anwar turut memberikan nafas baharu terhadap rundingan MEUFTA selepas mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Jerman pada Mac lalu, ketika beliau mengumumkan Malaysia akhirnya bersetuju menyambung semula rundingan bagi memperkukuhkan hubungan dua hala dan integrasi serantau.

Dalam lawatan sulungnya ke Belgium, Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pada Isnin, Anwar dijadual bertemu Perdana Menteri Kerajaan Sementara Belgium, Alexander De Croo untuk membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Belgium dan mempergiatkan usaha kerjasama serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Perdana Menteri juga akan bertemu Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa untuk membincangkan usaha memperkukuhkan hubungan Malaysia-EU dan kerjasama serantau.

EU merupakan rakan dagangan keempat terbesar Malaysia selepas China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS). 

Bagi tempoh Januari hingga November 2024, perdagangan dua hala Malaysia dengan EU termasuk Belgium berjumlah RM200 bilion (AS$43.71 bilion).

Sehingga kini, sebanyak 1,345 projek pembuatan dengan penyertaan EU telah dilaksanakan di Malaysia yang berjaya menarik pelaburan berjumlah RM239.9 bilion (AS$59.80 bilion) dan mencipta 155,933 peluang pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya