Lawatan PM ke Belgium kukuh kerjasama Brussels-Putrajaya

Lawatan PM ke Belgium kukuh kerjasama Brussels-Putrajaya

FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Belgium bermula semalam menyentuh isu-isu perdagangan, Asia Barat dan krisis Russia-Ukraine.

Duta Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah, Datuk Mohd. Khalid Abbasi Abdul Razak berkata, pandangan dan pendirian Malaysia dijangka disampaikan sewaktu pertemuan dengan pemimpin Belgium dan Kesatuan Eropah (EU).

“Perkembangan di Palestin dijangka disentuh semasa lawatan ini. Kerajaan Belgium turut bersimpati dengan perkara yang sedang berlaku di Gaza,” katanya pada sidang media bersempena lawatan sulung Anwar sebagai Perdana Menteri ke Belgium.

Lawatan Perdana Menteri diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Anwar tiba di Brussels pada petang semalam akan bertemu dengan Perdana Menteri sementara Belgium, Alexander De Croo, hari ini.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha-usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan seperti pendidikan tinggi serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Semasa di Brussels, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan pihak EU yang dimulakan dengan sesi perjumpaan bersama Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar Negara dan Dasar Keselamatan atau Naib Presiden Suruhanjaya Eropah (HRVP), Kaja Kallas.

Ia disusuli pertemuan empat mata antara Perdana Menteri dengan Pengerusi Majlis Eropah, Antonio Costa di Bangunan Europa.

Mohd. Khalid Abbasi berkata, pertemuan dengan pihak EU akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai bidang kerjasama dalam pelbagai bidang.

“Ia termasuk isu kemampanan, Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama antara Malaysia dengan Kesatuan Eropah (MEUPCA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dan Kesatuan Eropah (MEUFTA),” katanya.

Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri akan mengambil peluang melalui lawatan kerja ini untuk mengetengahkan keutamaan Malaysia dalam hala tuju Kepengerusian Malaysia yang bertemakan Keterangkuman dan Kemampanan.

Pada sebelah petang, Anwar akan menyampaikan ucaptama bertajuk Bridging Regions: Strengthening Southeast Asia-European Resilience di College of Europe (COE) bertempat di Bruges.

Kolej itu merupakan institusi tertua bagi pengajian Eropah yang juga antara institusi pengajian Eropah tersohor dan telah mengehoskan tokoh-tokoh terkemuka seperti Margaret Thatcher, Xi Jinping, Angela Merkel dan Frank-Walter Steinmeier.

Rektor College of Europe, Federica Mogherini yang juga bekas Menteri Luar Itali akan menjadi moderator pada sesi berkenaan.

Pada hari pertama lawatan beliau semalam, Anwar menghadiri Majlis Minum Petang dan Ramah Mesra bersama kira-kira 200 rakyat Malaysia yang menetap di Belgium dan Luxembourg.

Beliau juga akan mengadakan perjumpaan dengan Presiden Majlis Islam Belgium yang merupakan satu-satunya badan pertubuhan rasmi Islam di negara itu.

Terdapat hampir satu juta umat Islam di Belgium, kebanyakannya berketurunan Maghribi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya