TANAH MERAH: Mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) dan masih belum menerima bantuan wang ihsan diminta membuat laporan segera kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, semua mangsa yang berlindung di PPS layak menerima bantuan mengikut syarat ditentukan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Jika ada yang tercicir (bantuan), tindakan segera perlu diambil. Saya telah menerima arahan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) agar menyemak perkara ini sehingga ke akar umbi.
“Dari segi Prosedur Operasi Standard (SOP) mana-mana yang berlindung di PPS layak menerima bantuan banjir,” katanya ditemui pemberita pada Majlis Sumbangan Skuad Ihsan Madani JPJ dan Pakaian Seragam Sekolah Kepada Mangsa Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Nyior Tanah Merah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar memberitahu, perkara itu sepatutnya selesai dalam tempoh sebulan selepas banjir.-UTUSAN