BALIK PULAU: Lima suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes langgar seorang pelajar sekolah menengah hingga menyebabkan mangsa maut dalam kejadian di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, semalam direman empat hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap kelima-lima suspek termasuk empat remaja berusia 16 tahun itu dikeluarkan Majistret, Chia Huey Ting di Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Sazalee Adam berkata, selain empat remaja tersebut, seorang lagi suspek berumur 21 tahun.
“Empat daripada mereka ditahan hasil soal siasat yang dijalankan terhadap suspek pertama yang terlebih dahulu hadir menyerah diri ke balai polis, semalam.
“Tempoh reman ke atas kesemua suspek dibenarkan sehingga 25 Januari ini bagi membantu melengkapkan siasatan kes tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun maut selepas dipercayai terlibat kemalangan melibatkan dua buah motosikal di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, di sini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi itu ketika mangsa dalam perjalanan dari arah pusat bandar George Town menghala ke Batu Maung.
Sazalee berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek bukan kenalan kepada penunggang motosikal atau mangsa yang maut itu.