BENTONG: Keputusan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengemukakan permohonan peruntukan baharu bagi memasang lampu jalan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bermula dari Genting Sempah di sini merupakan khabar gembira buat pengguna melibatkan tiga negeri di Pantai Timur.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, ia membuktikan Menteri Besar cakna dengan permasalahan dihadapi pengguna lebuhraya terbabit yang melahirkan rasa bimbang setiap kali memasuki Genting Sempah kerana kawasan berkenaan begitu gelap berbanding di sebelah Gombak yang dipasang lampu jalan.
“Saya percaya ia begitu ditunggu-tunggu pengguna lebuhraya tersebut kerana lampu jalan elemen penting bagi memastikan pemandu dapat melihat dengan jelas dan mengelak bahaya di hadapan mereka, terutama pada waktu malam.
“Pencahayaan memainkan peranan utama terutama di kawasan yang dikenali sebagai ‘black spot’ iaitu lokasi kemalangan paling tinggi.
“Jadi, dengan adanya lampu jalan di Lebuhraya KLK bermula dari Genting Sempah, saya percaya ia bukan sahaja akan memberikan keselesaan kepada pengguna malah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di laluan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Isu laluan gelap di Lebuhraya KLK bermula daripada Genting Sempah di Bentong bakal berakhir apabila kerajaan negeri sudah pun mengemukakan permohonan peruntukan baharu bagi memasang lampu jalan di situ.
Wan Rosdy dilaporkan berkata, pihaknya mengambil perhatian isu itu dalam memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna.
Sebelum ini, media melaporkan aduan seorang pengguna yang berasal dari Raub, dekat sini yang menyatakan, dia sering kali menyaksikan kemalangan di laluan berkenaan malah hampir terlibat dalam kemalangan kerana keadaan yang gelap, berbukit dan berselekoh.
Mengulas lanjut, Mohamad Zaini berharap peruntukan dimohon kerajaan negeri tidak mengambil masa terlalu lama untuk diluluskan kerana lampu jalan di lokasi terbabit keperluan mendesak yang perlu diselesaikan segera. – UTUSAN