PETALING JAYA: Perdana Menteri memuji usaha Tenaga Nasional Berhad (TNB) berikutan kejayaannya dalam memiliki ladang solar di seluruh United Kingdom (UK) dan Ireland.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama tenaga serantau melalui Grid Kuasa ASEAN akan memberi manfaat kepada teknologi baharu dalam memajukan peralihan tenaga rantau ini.
Jelasnya, ladang solar Eastfield dan Bunkers Hill berkapasiti 102 Megawatt (MW) oleh TNB itu juga mempamerkan kepakaran Malaysia dalam memacu penyelesaian tenaga lestari di seluruh dunia.
“Justeru, usaha dalam bidang ini termasuk di UK, pasti bermanfaat disokong dengan kajian dan penerokaan (TNB) dan daya cipta daripada pemain korporat serta para profesional bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui (RE) .
“Hatta impaknya nanti akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara dalam jangka masa panjang sekaligus meletakkan Malaysia sebagai destinasi industri peralihan tenaga utama,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.