PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan dua ciri utama bagi kemudahan Simpanan Shariah dengan akses lebih pantas dan fleksibel untuk ahlinya berkuat kuasa pada 1 April 2025.
KWSP berkata, dana persaraan itu berkata, penambahbaikan berkenaan juga membolehkan pendaftaran Simpanan Shariah dibuat secara serta-merta untuk ahli baharu manakala tarikh kuat kuasa setiap awal bulan bagi semua ahli yang memilih untuk beralih kepada simpanan terbabit.
“Kami kini memberi kemudahan lebih besar kepada ahli untuk memilih Simpanan Shariah semasa pendaftaran kendiri. Ini memberi ahli kawalan yang lebih besar terhadap simpanan persaraan mereka mengikut keutamaan kewangan dan pilihan patuh syariah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, perubahan kepada Simpanan Shariah hanya berkuat kuasa pada 1 Januari tahun berikutnya.
Namun, katanya, menerusi penambahbaikan ini, tarikh kuat kuasa akan jatuh pada hari pertama bulan berikutnya, tertakluk kepada tempoh tangguh selama tujuh hari, sekali gus membolehkan ahli beralih kepada akaun patuh syariah dengan lebih cepat.
“Penambahbaikan ini memberi ahli (dari segi kemudahan) kawalan dan fleksibiliti lebih besar, memudahkan mereka menguruskan simpanan persaraan selaras dengan keutamaan kewangan dan pilihan simpanan patuh syariah,” katanya.
KWSP juga akan melaksanakan penambahbaikan itu berdasarkan tempoh peralihan dari tarikh 25 Disember 2024 hingga 31 Mac 2025 bagi memastikan kelancaran inisiatif berkenaan.
Dalam tempoh itu, tarikh kuat kuasa bagi ahli yang ingin beralih sebelum 25 Disember 2024 adalah pada 1 Januari 2025.
Katanya, mereka yang memilih tempoh antara 25 Disember 2025 hingga 24 Mac 2025 pula akan menyaksikan tarikh kuat kuasa pada 1 April 2025 manakala bagi tempoh 25 Mac hingga 31 Mac 2025 pula adalah pada 1 Mei 2025.
“Bagi mereka yang beralih mulai 1 April 2025 dan seterusnya tarikh kuat kuasa adalah pada 1 hari bulan berikutnya selepas tarikh membuat pilihan, tertakluk kepada tempoh tangguh selama tujuh hari.
“Contohnya, ahli yang memilih untuk beralih ke Simpanan Shariah pada 15 April 2025, tarikh kuat kuasanya pada 1 Mei 2025.
“Jika ahli memilih beralih pada 25 April 2025, (maka) tarikh kuat kuasa pada 1 Jun 2025 dan bukannya 1 Mei 2025, setelah mengambil kira tempoh tangguh tujuh hari itu,”katanya.