DUNGUN: Ribuan kerang yang terdampar di Pantai Sura, di sini, menarik kehadiran ratusan pengunjung yang mengambil peluang mengutip hidupan marin itu sejak kelmarin.
Bagi penduduk, fenomena kerang terdampar di pantai itu bukanlah baharu, malah saat yang ditunggu-tunggu setiap kali kedatangan Monsun Timur Laut.
Tinjauan mendapati, orang ramai berpusu-pusu ke pantai itu bersama ahli keluarga membawa pelbagai peralatan termasuk sauk dan baldi untuk mengutip kerang.
Seorang penduduk, Tengku Ahmad Amirul Tengku Hazaid, 22, dari Kampung Sura Hujung, dekat sini berkata, dia membantu orang ramai menyauk kerang di tepi laut sebelum diagihkan kepada pengunjung pantai itu.
“Saya memang sudah biasa menyauk kerang di pantai dan kadangkala turun ke laut. Memang saat ini ditunggu-tunggu. Ombak memang besar, namun kami sentiasa berwaspada dan tidak turun ke tengah laut, hanya di gigi air,” katanya yang membawa pulang enam guni kerang.
Seorang pengunjung, Zainun Sai, 63, dari Kampung Chabang, Kerteh di Kemaman berkata, dia bersama enam ahli keluarganya ke pantai itu meskipun mengambil masa satu jam perjalanan semata-mata untuk mengutip kerang selepas melihat video dan gambar tular dalam media sosial.
“Kami memang sangat seronok bersama-sama dapat kutip kerang dan Alhamdulillah kami dapat bawa pulang lebih 60 kilogram. Kerang yang kami kutip bukan untuk dijual, hanya untuk makan bersama ahli keluarga dan diagihkan kepada jiran-jiran,” katanya.
Bagi suri rumah, Sabariah Awang, 53, dia yang tinggal di Kampung Pulau Serai, di sini, tidak mahu melepaskan peluang untuk mengutip kerang bersama ahli keluarganya.
“Kami jarang makan kerang sebab tak selalu ada di pasar dan harganya agak mahal. Kami ambil peluang untuk kutip dan bawa pulang untuk direbus atau dibakar,” katanya.
Dalam keseronokan orang ramai ‘berpesta’ mengutip kerang, pasukan penyelamat termasuk polis dan bomba dilihat turut berada di pantai itu memantau orang ramai bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.