KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan peningkatan lima peratus bagi pertumbuhan perusahaan kecil kepada sederhana bagi sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menjelang 2027.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, sasaran itu diletakkan berdasarkan penglibatan Malaysia sebagai Kepengerusian ASEAN 2025.
Katanya, jangkaan itu melihat kepada peningkatan usahawan kecil sempena penganjuran aktiviti-aktiviti berskala besar.
“Kita menyasarkan sehingga lima peratus jumlah pertubuhan perniagaan itu pada tahun 2027 adalah bersaiz sederhana.
“Penganjuran pelbagai aktiviti yang berskala besar itu akan mencetuskan banyak usahawan kecil yang baru,” katanya ketika sidang media sempena Majlis Amanat Menteri KUSKOP Tahun 2025.
Mengulas lanjut, Ewon berkata, pembiayaan pinjaman kepada usahawan juga dijangka meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu RM9.58 bilion.
Katanya, bagaimanapun, jumlah itu adalah bergantung kepada keperluan pemain industri.
“Saya tidak mahu memaklumkan jumlah itu kerana ia bergantung kepada keperluan pemain industri itu sendiri, kalau mereka memerlukan 10 bilion keseluruhannya, saya ingat agensi-agensi kita ini berkemampuan.
“Yang penting adalah kesediaan kementerian dan agensi-agensi ini untuk menyalurkan pembiayaan yang diperlukan. Tetapi dalam masa yang sama kita juga meneliti permohonan ini,” katanya. – UTUSAN