BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu generasi muda mengambil inisiatif sendiri dengan mula menguasai pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris dan Cina pada masa ini.
Menurut Perdana Menteri, keberanian untuk melakukan perubahan itu penting memandangkan kedua-dua bahasa tersebut diperlukan bagi menguasai ekonomi dunia.
“Saya pun bukan setuju semua dengan budaya Inggeris (barat) tetapi saya tahu bahasa Inggeris itu penting. Kalau saya tidak menguasai bahasa Inggeris (di peringkat antarabangsa), maka, saya tak boleh mengajar di universiti dan saya tak boleh bicara dengan senang serta bebas.
“Begitu juga bahasa Cina yang kita tahu China adalah sebagai (kuasa) ekonomi besar dunia dan Malaysia mempunyai hubungan baik dengan negara ini (China),” katanya ketika berucap semasa sesi lawatannya ke Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin di sini, hari ini.
Katanya, bukan mudah untuk memelihara satu bangsa Malaysia yang positif walaupun berbeza fahaman politik.
“Saya tahu tentang semangatnya, perpaduannya, kecintaannya dan kemanusiaannya yang ditekankan di sini.
“Apa erti pendidikan? Didik bagi orang cerdik pintar bahasa Cina, pintar bahasa Melayu dan pintar bahasa Inggeris.
“Negara ini ada perlembagaannya, bahasanya dan raja-rajanya tetapi kita harus terima kepelbagaian itu, bahasa-bahasa lain. Apatah lagi bahasa yang boleh bantu kita,” ujarnya.