KOTA BHARU: Pasukan Kelantan Red Warriors (KRW) melantik Irfan Bakti Abu Salim sebagai jurulatih bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun ini.
Presidennya Nik Hafiz Naim Nik Hassan berkata, keputusan itu diambil selepas KRW penilaian menyeluruh terhadap keperluan pasukan dan visi yang mahu dicapai.
“Irfan Bakti adalah jurulatih yang berpengalaman lebih dari 30 tahun dan namanya tidak asing lagi di Malaysia ini.
“Sebagai ketua jurulatih, beliau bertanggungjawab mengemudi pasukan utama serta menerapkan falsafah permainan yang sejajar dengan identiti KRW,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini sebentar tadi.
Kehadiran Irfan Bakti juga diibaratkan sebagai sirih pulang ke gagang apabila pernah menyumbang bakti selaku penolong ketua jurulatih Kelantan FA ketika pasukan berkenaan berada di bawah kendalian Datuk M. Karathu pada musim 2011.
Irfan Bakti juga merupakan bekas pemain kebangsaan dan pernah beraksi sebagai pertahanan Kelantan FA suatu ketika dahulu.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, KRW yang memerlukan dana sehingga RM2 juta bagi mengharungi saingan Liga A1 Semi-Pro musim depan turut memasang impian untuk membawa masuk pemain berstatus bintang dalam usaha memperkasakan pasukan.-UTUSAN