PETALING JAYA: Polis akan merakam keterangan dua individu yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas dipercayai terjebak mengambil pil ekstasi ketika Konsert Pinkfish, Bandar Sunway dekat sini pada 31 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua individu terbabit sudah sedarkan diri namun masih lemah.
“Mereka kini dalam keadaan stabil namun lemah.
“Kita akan merekodkan keterangan kedua-dua individu terbabit selepas dibenarkan pihak hospital,” katanya Ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan semalam dilaporkan berkata, polis setakat ini polis telah merakam percakapan seramai 15 individu.
“Siasatan kes ini masih dijalankan termasuk mengenal pasti individu yang dikatakan menjual pil ekstasi di konsert terbabit.
Dalam kejadian pada 31 Disember, empat dilaporkan maut, dua menerima rawatan di ICU, manakala seorang lagi telah dibenarkan pulang oleh pihak hospital selepas kesemua mereka alami simptom sama.
Setakat ini, kes kematian telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).