KUALA SELANGOR: Projek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam mencatat tahap kemajuan lebih 60 peratus dan berada dalam fasa 20 hari lebih awal daripada jadual ditetapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI), Datuk Saipolyazan M. Yusop berkata, projek itu kini dalam proses penyediaan reka bentuk akhir dan pengurusan nilai bagi memastikan pembinaannya dilakukan secara efisien.
“MBI komited memastikan proses itu berjalan lancar dan efektif biarpun kos pembinaan semakin meningkat. Ia melibatkan beberapa proses pembayaran sama ada dalam bentuk land swapping (pertukaran tanah) dan sebagainya.
“Selain reka bentuk efisien, kita mahu kos pembinaan kompleks itu seminimum mungkin. Setakat ini, kemajuannya melebihi 60 peratus,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan Sumbangan Bakul Yayasan MBI, hari ini.
Jelasnya, pembangunan kompleks itu meliputi pembinaan stadium, teater tertutup, hab pengangkutan dan pelbagai kemudahan lain.
“Ia tidak hanya memfokuskan stadium semata-mata namun penyediaan taman besar bagi penduduk Shah Alam dan pengunjung.
“Projek itu juga selaras dengan usaha kerajaan negeri menangani isu banjir di sekitar Seksyen 13 dan kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan bagi projek tebatan banjir nenerusi kolam takungan seluas empat hektar,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau mengesahkan beberapa individu yang dipanggil Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah konsesi perlombongan pasir hanya melibatkan bekas kakitangan MBI.
“Setakat ini, tiada kakitangan semasa MBI dipanggil berhubung dakwaan itu dan yang digantung kerja dalam syarikat atau anak syarikat MBI.
“Selain itu, tiada tindakan dalaman dilakukan (terhadap kakitangan) sehingga siasatan selesai dijalankan oleh SPRM,” jelasnya. – UTUSAN