ALOR GAJAH: Kolam Air Panas Gadek yang sudah dinaiktaraf melibatkan peruntukan RM18.45 juta akan menjadi ikon baharu pelancongan di negeri ini dan bakal memberikan suntikan ekonomi kepada penduduk tempatan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kompleks itu yang kini dikenali sebagai Gadek Hotsprings Wellness & Spa Resort mendapat peruntukan menerusi Geran Rancangan Malaysia Ke11 (RMK-11) daripada Kementerian Ekonomi.
Menurutnya, kolam tersebut sudah pun ditutup sementara sejak 11 Ogos 2021 hingga 25 Oktober 2024 bagi kerja-kerja naik taraf yang berkonsepkan Wellness & Spa Resort.
Beliau berkata, seramai 11,772 pengunjung datang ke sini sehingga 19 Januari lalu iaitu dalam tempoh kurang sebulan pengoperasian kompleks air panas ini.
“Saya percaya, inisiatif ini adalah satu pelaburan penting bagi mempertingkatkan lagi kemudahan agar menjadi destinasi pelancongan kesihatan dan rekreasi utama yang semakin berkembang pesat.
“Ini akan menjadi tarikan baharu buat pelancong yang datang ke Melaka lebih-lebih lagi tahun ini, kita diberi kepercayaan menjadi tuan rumah sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC),” ujarnya berucap merasmikan Gadek Hotsprings Wellness & Spa Resort di Kompleks Air Panas Gadek di sini semalam.
Ab. Rauf berkata, tujuan utama pembinaan semula dan penubuhan resort yang berkonsepkan Wellness & Spa Resort ini bukan sahaja menawarkan perkhidmatan rawatan menggunakan air panas semula jadi.
Katanya, ia juga turut memberi tumpuan kepada pengukuhan mental dan fizikal kerana ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk kolam air panas, bilik rawatan spa, pusat kecergasan serta penginapan yang selesa.
Menurutnya, kompleks tersebut di kawasan seluas 4.16 hektar itu mampu memuatkan 800 pengunjung pada satu-satu masa.