PETALING JAYA: Keterjaminan pekerjaan sektor perkhidmatan awam merupakan antara faktor utama menyumbang kepada jumlah permohonan 44,559,514 jawatan kerajaan.
Jumlah permohonan yang besar itu juga adalah disebabkan ramai rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan akibat wabak Covid-19 sekitar tahun 2020 hingga 2022.
Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, Covid-19 memberi impak kepada negara khususnya di sektor swasta apabila banyak pekerja termasuk golongan profesional kehilangan pekerjaan masing-masing.
Katanya, keadaan itu menyumbang kepada jumlah permohonan besar dalam sektor awam kerana perkhidmatan awam lebih stabil walaupun pendapatan bulanan hanyalah memadai dan mencukupi.
“Jadi tidak hairanlah juga jika jumlah permohonannya besar kerana ramai yang terkesan akibat Covid-19 dan mencuba nasib mengisi borang SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam), bukan sahaja dalam kalangan graduan baharu bahkan graduan lama untuk peralihan kerjaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Khairul yang berkhidmat sejak 2019 hingga 2022, berkata, sektor awam dianggap lebih stabil kerana penjawatan disediakan sentiasa ada saban tahun malah taburan geografinya luas dari Perlis hingga ke Sabah.
“Manfaatnya lebih luas iaitu pilihan untuk berkhidmat di negeri masing-masing atau ke luar negeri. Perkara ini tidak banyak ditawarkan sektor swasta melainkan syarikat mempunyai cawangan di seluruh negara.
“Pada masa sama, sektor awam juga menawarkan pelbagai jenis jawatan daripada tenaga kurang mahir sehingga profesional. Jadi mereka lebih memilih keterjaminan pekerjaan.
“Pada masa sama, sektor awam bukanlah berasaskan keuntungan, tetapi sektor swasta jika syarikat peroleh keuntungan maka ia akan berkembang, jika menanggung kerugian ia akan menguncup,” katanya.
Laporan muka depan Utusan Malaysia kelmarin melaporkan kerajaan menerima 44,559,514 permohonan kerja dalam perkhidmatan awam sepanjang tempoh lima tahun sejak 2019 sehingga 2023 melalui tiga agensi utama pihak berkuasa melantik (PBM).
Tiga agensi utama PBM itu ialah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Selain daripada tiga agensi itu, urusan pengambilan bagi perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah melalui Suruhanjaya Pasukan Polis, manakala bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula ialah Majlis Angkatan Tentera (MAT).
Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah yang memegang jawatan itu dari 2018 hingga 2019, berkata, keterjaminan pekerjaan ketika berkhidmat dan selepas perkhidmatan serta kestabilan sektor awam perkara utama menyumbang kepada jumlah permohonan yang besar saban tahun.
Katanya, sektor awam memberi jaminan dengan pelbagai manfaat sepanjang berkhidmat bahkan turut menjamin kewangan penjawat awam selepas mereka bersara.
“Selepas bersara mereka mempunyai pencen dan ia akan diterima oleh keluarga jika mereka telah tiada. Ia merupakan satu jaminan jangka panjang.
“Pada masa sama, sistem pendidikan negara yang semakin berkembang turut menyumbang kepada penambahan permohonan ini kerana jumlah IPTA (Institusi Pengajian Tinggi Awam) dan IPTS (Institusi Pengajian Tinggi Swasta) juga semakin banyak,” katanya.
Beliau berpandangan, risiko di sektor swasta yang mengamalkan hired and fired juga adalah faktor orang ramai lebih cenderung memohon untuk menyertai sektor awam.-UTUSAN.