KANGAR: Sebanyak 197 kes penipuan dalam talian direkodkan di Perlis tahun lalu dengan nilai kerugian mencecah RM2.9 juta.
Secara keseluruhan, nilai kerugian yang dilaporkan pada tahun 2024 membabitkan jenayah komersial di Perlis mencecah RM7.6 juta di mana 471 kertas siasatan telah dibuka.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, setakat ini, sejumlah 141 tangkapan berkaitan kes komersial telah dibawa ke mahkamah bagi tindakan pertuduhan.
“Peratus pertuduhan di mahkamah tersebut melebihi 42 peratus berbanding 30 peratus Petunjuk Pretasi Utama (KPI) ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan IPK Perlis di sini, semalam.
Muhammad berkata, selain ‘phone scam’ terdapat beberapa kegiatan penipuan dalam talian lain berjaya dibanteras membabitkan pelaburan online (64 kes), E-Dagang (102 kes), Love Scam (14 kes) dan pinjaman wang tidak wujud (20 kes).
Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri turut giat melaksanakan pelbagai program dalam memberi kesedaran buat orang ramai di negeri ini.
“Kita sentiasa menguar-uarkan modus operandi terkini jenayah dalam talian menerusi 84 program termasuk ceramah, meet and greet dan pelbagai lagi,” katanya.
Muhammad berkata, sepanjang tempoh Januari hingga November, sebanyak 2,699 kes narkotik telah direkodkan di Perlis di mana 2,911 tangkapan turut dilaksanakan sebelum ini.
Katanya, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 0.83 peratus dengan jumlah tangkapan mencecah kadar 5.07 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelum itu.
“Selain itu, sepanjang tahun, polis telah berjaya membuat rampasan ganja seberat 271 kilogram manakala syabu seberat 629 kilogram dengan nilai berjumlah RM77.3 juta,” katanya.-UTUSAN