TENOM: Saksi ke-15, Ketua Bahagian Perkhidmatan Teknologi Responsif Cybersecurity Malaysia, Mohd. Zabri Adil Talib, 46, memberitahu mahkamah bahawa kes membabitkan pendakwah terkenal Ebit Lew dirujuk kepada Cybersecurity Malaysia bagi mendapatkan pandangan kedua pakar.
Katanya, kes melibatkan pendakwah itu adalah kes berkepentingan tinggi dan mendapat liputan semua pihak.
Namun, beliau memberitahu tidak mengetahu apa-apa kaitan kes tersebut semasa meluluskan laporan forensik digital berkenaan.
Malah, sebelum laporan disahkan, beliau memaklumkan telah memeriksa laporan forensik digital yang telah dijalankan juruanalisis.
Beliau memberitahu perkara itu semasa menjawab soalan pemeriksaan balas peguam, Datuk Ram Singh yang bertanya bagaimana saksi tahu bahawa kes itu berkepentingan tinggi dan mendapat liputan semua pihak.
Dalam keterangannya, Mohd. Zabri juga bersetuju dengan pandangan peguam bahawa PDRM telah menyediakan laporan forensik berkenaan kes tersebut namun laporan forensik itu tidak ditunjukkan kepadanya.
Dia malah mengesahkan pemeriksaan forensik digital yang dijalankan dalam kes itu mengikut metodologi dan prosedur operasi piawaian yang ditetapkan.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 39, berdepan berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Rasyidah manakala, Ebit diwakili peguam Ram, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak dan Kamarudin Mohmad Chinki.-UTUSAN.