PETALING JAYA: Polis melanjutkan reman selama lima hari membabitkan tiga beranak bagi membantu siasatan kes bunuh Yap Xin Yuan, 15,yang ditemukan maut dalam keadaan mayatnya mereput di Banting, Selangor, Sabtu lalu.
Perintah lanjutan reman kesemua individu itu dikeluarkan Majistret Fatin Dayana Jalil, selepas permohonan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Mahkamah Majistret Kajang dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya telah mendapatkan sambung reman terhadap ketiga-tiga suspek berusia 16 hingga 51 tahun untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Reman mereka dilanjutkan sehingga 10 Januari depan bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jumaat lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, perselisihan faham dan pengambilan dadah berlebihan adalah antara motif yang disiasat polis ketika ini berkaitan pembunuhan Xin Yuan.
Mayat Xin Yuan, ditemui reput di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Sungai Changgang, Banting pada 28 Disember lalu, iaitu lapan hari selepas laporan kehilangannya dibuat pada 20 Disember lalu di Kajang.
Beliau berkata, keadaan mayat remaja yang reput ketika dijumpai menyukarkan pakar patologi untuk memastikan sebarang kecederaan fizikal yang lain.
Katanya, polis juga percaya pembabitan teman lelaki mangsa dalam pembuangan mayat dan siasatan masih dijalankan jika ada individu lain yang membantu suspek membuang mayat.