KOTA KINABALU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga akan kekal dikosongkan sehingga Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Kadzim M. Yahya berkata, kekosongan itu dikekalkan kerana tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Sibuga dalam masa terdekat susulan penyandangnya, Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada Ahad.
“Berdasarkan Perlembagaan Negeri, tiada keperluan untuk mengadakan PKR jika berlaku kekosongan kerusi berlaku dalam tempoh dua tahun sebelum pembubaran DUN,” katanya ketika dihubungi hari ini.
PRN Sabah diadakan pada September 2020 dan tempoh DUN akan berakhir pada hujung September ini.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Bilcher Bala berkata, tindakan mengadakan PRK DUN Sungai Sibuga dalam tempoh kurang daripada sembilan bulan sebelum PRN17 adalah tidak wajar dari segi masa dan kos.
Katanya, hal ini emandangkan tempoh DUN Sabah akan berakhir pada September maka, PRN dijangka akan diadakan selepas itu.
“Berdasarkan maklumat terkini, tidak perlu mengadakan PRK bagi kerusi DUN Sungai Sibuga. Ini kerana tempoh penggal DUN Sabah akan berakhir dalam masa kurang daripada sembilan bulan.
“Oleh itu, adalah lebih praktikal untuk mengadakan pemilihan ADUN baharu sekali dengan PRN17,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah, kekosongan kerusi DUN perlu diisi melalui PRN dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti dinyatakan dalam Perkara 21(5) Perlembagaan Negeri Sabah.
“Walau bagaimanapun, sekiranya kekosongan berlaku dalam tempoh dua tahun sebelum pembubaran automatik DUN, PRK tidak perlu diadakan. Ia bagi mengelakkan pembaziran sumber dan memastikan kestabilan politik,” katanya. – UTUSAN