KAJANG: Kertas siasatan berhubung kes pembunuhan remaja, Yap Xin Yuan, 15, dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada 9 Januari untuk mendapatkan arahan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, arahan tambahan sudah diterima dan tindakan selanjutnya sedang diambil bagi melengkapkan siasatan.
“Dua daripada tiga suspek yang sebelum ini direman akan diberi jamin dengan diikat bon di bawah Seksyen 49 Kanun Prosedur Jenayah.
“Prosedur tersebut membolehkan mereka dijamin dengan syarat hadir semula ke mahkamah untuk prosiding lanjut,” katanya.
Menurutnya, seorang lagi suspek lelaki berusia 51 tahun dibebaskan sebagai saksi pendakwaan.
“Kertas siasatan akan dirujuk semula kepada TPR setelah arahan yang berkaitan dilaksanakan.
“Proses siasatan giat dijalankan dengan teliti dan berpandukan undang-undang bagi memastikan keadilan kepada semua pihak,” tambahnya.
Minggu lalu, Mahkamah Majistret Kajang membenarkan tempoh tahanan reman terhadap tiga beranak yang disyaki terbabit dalam kes bunuh remaja malang itu, disambung lima hari bermula 6 Januari.
Sebelum ini, ketiga-tiga mereka terdiri daripada teman lelaki mangsa berusia 17 tahun, abangnya (21) serta bapa mereka (51) yang ditahan pada 30 Disember lalu direman selama enam hari.