Kereta Mercedes terbakar langgar bateri lori terjatuh

Kereta Mercedes terbakar langgar bateri lori terjatuh

KEADAAN Mercedes Benz C200 yang musnah dalam kebakaran di atas Jambatan Kedua Pulau Pinang selepas terlanggar bateri lori yang berada di tengah jalan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz C200 hampir musnah dalam satu kebakaran di Kilometer 18, Jambatan Kedua Pulau Pinang, di sini gara-gara terlanggar bateri lori yang dipercayai terjatuh di tengah-tengah jalan sebelum menaiki jambatan tersebut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3.29 petang ketika kereta tersebut yang dinaiki oleh dua individu dalam perjalanan dari Batu Kawan menuju ke Batu Maung.

Katanya, kemalangan berlaku apabila kereta terbabit terlanggar satu objek atas jalan di lorong kanan laluan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara iaitu sebelum susur keluar menuju ke jambatan berkenaan yang dipercayai ba­teri lori.

“Pemandu (kereta) itu bagaimanapun meneruskan pemanduannya sehingga menaiki jambatan dan ketika sampai di Kilometer 18 (atas jambatan), kereta terbabit tiba-tiba berasap sebelum pemandu tersebut memberhentikan kereta serta-merta.

“Kereta itu kemudian mula terbakar, namun, pemandu dan penumpangnya terselamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini, semalam.

Katanya, selain menunggu laporan polis daripada pemandu kereta itu, pihaknya turut mengesan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan cuba mendapatkan saksi yang melihat kejadian tersebut.

Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, kerja pemadaman dilaksanakan dengan penglibatan 12 anggota termasuk penyelia dari dua buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Bayan Baru dan Batu Kawan sebelum kes diserahkan kepada pegawai penyiasat kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya