KUALA SELANGOR: Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meneliti garis panduan baharu penganjuran konsert di Selangor untuk mengawal dan memastikan keselamatan penonton serta menyekat penggunaan bahan terlarang.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd. Najwan Halimi berkata, beliau juga akan bertemu dengan Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Garis panduan baharu, nanti kita bincang. Saya pun akan bincang dengan Exco Kerajaan tempatan untuk lihat semula. Sebab, sebelum ini tidak pernah berlaku insiden kematian akibat daripada penggunaan bahan terlarang.
“Kita mahu elakkan supaya kejadian sedemikian tidak berlaku lagi pada masa akan datang dan saya setuju kita semak semula dari segi garis panduan atau pelaksanaan sesuatu konsert nanti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jelajah Belia Madani Selangor, hari ini.
Tegasnya, semakan semula itu perlu untuk memastikan tahap penguatkuasaan terutamanya dari sudut pengambilan dan penggunaan bahan terlarang dan tindakan tegas kepada mereka yang terlibat perlu diambil.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan polis Selangor menangguhkan sementara kelulusan permit penganjuran konsert terutama yang melibatkan elemen minuman beralkohol bagi menyemak prosedur dan jaminan keselamatan pengunjung serta kawalan terhadap pengedaran dadah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia bagi memastikan perkara tersebut dapat dikawal serta mengelak daripada sebarang insiden melibatkan kematian seperti yang berlaku dalam konsert Pinkfish sempena ambang tahun baharu, Selasa lalu.
Jelas Mohd. Najwan, pihaknya kesal dengan insiden yang berlaku sehingga melibatkan kematian pada konsert Pinkfish dan memberi keyakinan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Bagaimanapun, kita yakin pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil keputusan sewajarnya untuk menangguhkan konsert yang sekarang dirancang.
“Kita harap penganjur konsert selepas ini perlu lihat semula kaedah penganjuran dari segi prosedur. Kalau diikutkan agak jelas garis panduannya tetapi kadang-kadang ada perkara di luar kawalan penganjur dan pihak berkuasa,” ujarnya. – UTUSAN