BALIK PULAU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan ‘buta warna’ dalam melaksanakan program-program bagi memenuhi keperluan rakyat tanpa mengira latar belakang politik atau kaum, khususnya di kawasan luar bandar.
Ahmad Zahid berkata, program-program untuk rakyat terutama program yang dijalankan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) adalah secara menyeluruh.
“Kita mahu supaya semua merasakan bahawa kita sering mendepani dan menyantuni semua. Jadi, kita ‘buta warna’ dalam melaksanakan program-program ini untuk kebaikan semua,” katanya pada majlis penutup pemukiman KKDW 2025 di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pembangunan luar bandar tidak hanya tertumpu kepada masyarakat Melayu, tetapi, turut merangkumi Sabah dan Sarawak yang menjadi fokus utama kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan tersebut.
Katanya, konsep kesamarataan itu dapat dilihat menerusi peruntukan pembangunan terbesar kepada Sabah dan Sarawak ketika ini.
“Sabah dan Sarawak menerima peruntukan terbesar. Malah, empat negeri pembangkang turut menerima peruntukan lebih besar berbanding negeri-negeri yang dikuasai oleh kerajaan Madani,” katanya. – UTUSAN