PETALING JAYA: Keputusan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk membuat rombakan dalam video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 adalah tepat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, tindakan tersebut sangat wajar dan tepat kerana mengambil kira semangat Perlembagaan yang meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan menghormati kemajmukan masyarakat di negara ini.
Katanya, institusi masjid dan surau merupakan elemen penting dalam mencerminkan imej dan identiti negara Malaysia.
“Usaha-usaha untuk memperkukuh serta memartabatkan syiar Islam di Malaysia adalah keutamaan Kerajaan Madani yang kini giat dilaksanakan melalui kementeriannya termasuk dalam agenda Membangun Malaysia Madani dan Pelan Transformasi Al-Falah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata, video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 akan dibuat semula dengan lebih terperinci bagi mempromosi setiap negeri sebaiknya dan dijangka dapat disiarkan dalam tempoh seminggu.
Na’im berkata, pengukuhan Islam di negara ini perlu dilakukan secara bersepadu yang melibatkan kerjasama antara agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri, agensi swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).
“Semua pihak perlu bersama-sama mengambil inisiatif untuk memperkukuh perpaduan dan menjayakan agenda memajukan negara ini,” katanya.