PETALING JAYA: Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Education Malaysia Egypt (EME) memantau rapi situasi membabitkan lapan pelajar Malaysia Universiti Al-Azhar yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Port Said, Mesir.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, Pegawai EME telah segera melawat pelajar di Hospital As Salam Port Said untuk memberikan bantuan dan menilai keadaan mereka.
“Lima daripada pelajar itu mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar. Tiga lagi yang dalam pemerhatian akan dipindahkan ke Hospital Sayed Galal di Kaherah untuk rawatan berterusan.
“Kedutaan Malaysia di Kaherah memberikan sokongan kepada para pelajar dan akan terus memantau keadaan dengan teliti untuk memastikan kesejahteraan mereka,” katanya.
Terdahulu, EME dalam hantara dalam media sosial mengesahkan lapan pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar terlibat kemalangan kereta ketika dalam perjalanan rehlah ke Port Said kira-kira pukul 12 tengah hari.
Justeru, pihak universiti menghantar pegawai dari Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (Mahasiswi) kampus Port Said, Dr Syaima Amir Al Bana, Dr Fauziyah Muhallal, Dr Ahmad Al Sudani, dan Madam Syaima’ Al Huseini untuk membantu rawatan para pelajar, seterusnya memudahcarakan pengurusan bersama pihak hospital.