BERA: Kementerian Komunikasi akan berusaha bagi menambah baik kemudahan telekomunikasi di tujuh buah hospital besar di negara ini.
Hospital terbabit adalah Hospital Pulau Pinang, Hospital Cyberjaya, Hospital Tuanku Nur Zahirah Kuala Terengganu, Hospital Alor Gajah, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Rembau dan Hospital Tanah Merah.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, usaha itu merupakan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan apabila menerima aduan sebelum ini tentang masalah telekomunikasi yang berlaku di hospital terbabit.
“Kementerian ini menerima aduan masalah telekomunikasi hospital terbabit menerusi Kementerian Kesihatan dan akan mengambil tindakan segera usaha penambahbaikan tersebut,” katanya kepada pemberita di Klinik Kesihatan Bera selepas meninjau penggunaan internet murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rok di sini hari ini.
Menurut Nie Ching, kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memberi keutamaan penambahbaikkan setiap kali menerima aduan daripada hospital, pusat kesihatan daerah dan klinik kesihatan di kampung supaya jaminan memberikan pengurusan kesihatan yang terbaik kepada rakyat menerusi jaringan telekomunikasi.
“Kita juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dengan mengenal pasti sekolah di luar bandar, pedalaman termasuk Orang Asli supaya dapat mengakses internet dengan sempurna bagi membantu pengajaran dan pembelajaran pelajar berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ching berkata, sebanyak 191 menara baharu sudah dibina di bawah pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di Pahang termasuk 18 di kawasan Parlimen Bera, iaitu tiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai, lima DUN Triang dan 10 buah di DUN Kemayan.
“Daripada jumlah itu, 12 buah menara sudah beroperasi di Kampung Bukit Rok, manakala baki enam lagi di DUN Guai, lima di DUN Kemayan dijangka beroperasi secara berperingkat menjelang penghujung suku pertama tahun ini,” katanya. – UTUSAN