Kemahiran 3M perlu diasah dari rumah - Utusan Malaysia

Kemahiran 3M perlu diasah dari rumah

DR. HASNAH TORAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) perlu dimulakan dari rumah bagi memastikan pelajar mencapai tahap penguasaan minimum sebelum memasuki Tahun Satu.

Pakar Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berkata, proses membaca ini perlu dilakukan dengan seronok bagi menarik minat kanak-kanak.

Kata beliau, ibu bapa memainkan peranan yang penting di rumah bagi me­latih kanak-kanak kemahiran 3M.

“Latihan 3M ini perlu dilakukan di peringkat awal bagi memastikan ka­nak-kanak yang akan ke Tahun Satu menguasai tahap penguasaan minimum. Ibu bapa perlu memberikan masa yang lebih bagi me­latih anak-anak mereka.

“Ia juga perlu dilakukan secara berkala bagi memastikan anak-anak tidak lupa. Ibu bapa boleh meluangkan masa bersama anak mereka setiap hari sepanjang cuti sekolah ini,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, seramai 122,000 murid Tahun Satu sesi akademik tahun ini di dikesan masih belum menguasai kemahiran 3M.

Jumlah itu mewakili 27.5 peratus daripada keseluruhan 448,113 murid Tahun Satu yang berdaftar di sekolah seliaan Kementerian Pendidikan dengan seramai 62,928 daripada keseluruhan murid perlu mengikuti program intervensi belum menguasai literasi dan numerasi di tahap penguasaan minimum iaitu Tahap Penguasaan 1.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Kembangan Pendidikan Lanjutan & Profesional UKM (UKMShape), Jamalul Lail Abdul Wahab berkata, pihak pengurusan sekolah perlu mengambil tindakan yang lebih prihatin dan proaktif.

Menurut beliau, pihak sekolah yang mengesan pelajar-pelajar ini boleh menjemput ibu bapa mereka ke sekolah bagi tindakan seterusnya.

“Pihak sekolah boleh berbincang bersama ibu bapa untuk mengambil langkah-langkah dan aktiviti sewajarnya yang boleh dilakukan bersama-sama.

“Aktiviti yang dilakukan boleh melibatkan guru pakar literasi serta ibu bapa dan pelajar supaya mereka tidak dianggap tercicir dari pelajar-pelajar yang lain,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya