KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan berjaya mengubah kedudukan belanjawan negeri daripada defisit kepada lebihan menjelang hujung tahun lalu sekali gus menggambarkan komitmen dalam memastikan pengurusan kewangan mampan.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, prestasi kewangan kerajaan negeri bagi tahun lalu mencerminkan kejayaan pengurusan belanjawan seimbang antara hasil dan perbelanjaan.
“Melalui pendekatan pengurusan fiskal berhemah dan strategik, kerajaan negeri berjaya mengubah kedudukan bajet yang pada asalnya mencatat defisit RM178.49 juta kepada lebihan (surplus) sebanyak RM10.92 juta menjelang hujung tahun lepas.
“Kerajaan negeri beriltizam dan komited untuk melaksanakan teras bajet tahun 2025, iaitu ke arah bajet seimbang pada tahun-tahun akan datang melalui mempelbagaikan punca hasil baharu serta kawalan perbelanjaan secara berhemah,” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu dan Himpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan 2025 di Kompleks Kota Darul Naim, di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kelantan pada 2023 menunjukkan peningkatan nilai dengan menjana sebanyak RM27.6 bilion.
Katanya, bagi meningkatkan daya saing Kelantan sebagai destinasi pelaburan, kerajaan negeri berharap Kementerian Ekonomi melanjutkan Pakej Insentif Khas Kelantan melalui Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECERDC) untuk tahun ini.
“Pakej khas tersebut merangkumi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 15 tahun dan kadar istimewa 17 peratus untuk lima tahun berikutnya.
“Kerajaan negeri berharap Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK 13) akan mempertimbang kemasukan pelaburan strategik dalam sektor pembuatan untuk meningkatkan produktiviti serta pendapatan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, bagi menyokong kemasukan pelaburan dan pembangunan negeri, tumpuan utama perlu diberikan kepada keberkesanan infrastruktur, sistem pengairan dan saliran serta bekalan air bersih.
“PKINK (Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan) dan PMBK (Perbadanan Menteri Besar Kelantan) disaran mengambil langkah proaktif dalam meneroka peluang pelaburan baharu.
“Kelantan juga berpotensi menjadi hab terbesar teknologi dan tenaga hijau di Malaysia dengan siapnya Empangan Nenggiri pada 2027.