Kelantan gubal 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 Julai ini

Kelantan gubal 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 Julai ini

MOHAMED FADZLI HASSAN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menggubal semula 16 seksyen terbatal dari Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 pada Julai semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, hal ini kerana draf kerja pindaan enakmen berkenaan yang sedang diusahakan oleh Jawatankuasa Teknikal Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 dijangka siap pada penghujung Februari nanti.

“Saya belum lihat lagi draf kerja pertama itu kerana proses penyiapannya masih berjalan tetapi kita sudah meletakkan kerangka asas, iaitu ia mesti mengekalkan semangat 16 seksyen terbatal namun dalam masa yang sama bersesuaian dengan kerangka perlembagaan.

“Kita tidak mahu lagi ada pihak mencabar dengan alasan ia bertentangan dengan perlembagaan atau bukan bidang kuasa DUN Kelantan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan negeri mahu melihat pindaan kali ini melengkapi kedua-dua aspek berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri juga sudah memutuskan bahawa draf kerja pertama pindaan enakmen berkenaan perlu disiapkan pada Februari ini dan ia telah dipersetujui pada peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan.

“Kita ambil satu jangkamasa yang dirasakan mencukupi untuk jawatankuasa teknikal melaksanakan kerja-kerja berkaitan dan sebelum ini kita juga telah mengadakan sebuah konvensyen di Balai Islam Lundang,” ujarnya.

Mohamed Fadzli yang juga Jawatankuasa Induk Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 berkata, konvensyen berkenaan telah memberikan banyak input berguna dan pihaknya telah menemui jalan, kaedah serta cara untuk membolehkan kesemua sekyen terbatal digubal kembali agar bersesuaian dengan kerangka undang-undang yang diguna pakai di Malaysia.

“ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Melor, Wan Rohimi Wan Daud juga dirasakan individu yang layak mempengerusikan jawatankuasa teknikal kerana beliau merupakan ‘practising lawyer’ dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pas.

“Wan Rohimi tidak berseorangan, beliau dibantu oleh pakar-pakar dari pelbagai sektor perundangan termasuk daripada institusi pendidikan tinggi, jabatan-jabatan kerajaan, NGO (badan bukan kerajaan) serta Pejabat Penasihat Undang-Undang Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Kelantan (Jaheaik) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya