Kekalkan peranan ASEAN sebagai platform selesai masalah

Kekalkan peranan ASEAN sebagai platform selesai masalah

MOHAMAD Hasan menyampaikan ucaptama ketika mempengerusikan mesyuarat bersama Menteri Luar ASEAN 2025 sempena pemukiman di Pusat Konvensyen Antarabangs Langkawi (LICC) di Langkawi - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: ASEAN harus dipastikan kekal sebagai platform utama mencari penyelesaian untuk menghadapi sebarang ketidakstabilan akan datang dengan menjadikan kesejahteraan kehidupan rakyat serantau sebagai teras utama.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persoalan yang kerap diajukan ketika ini adalah tentang kepimpinan baharu Amerika Syarikat (AS) dan bagaimana ia akan membentuk dinamika rantau ASEAN.

Katanya, ia disebabkan rantau Asia Tenggara ini menjadi lokasi persaingan kuasa besar yang semakin memuncak disebabkan potensi besar yang ada pada ASEAN.

“Kedudukan geostrategik, kepelbagaian budaya dan kekuatan ekonomi kolektif kita. Perkara ini jelas untuk dilihat dan kita berharap pemimpin baharu negara-negara rakan dialog kita akan mengambil maklum peranan penting kita mainkan, serta berinteraksi dengan kita secara diplomatik dan terbuka.

“Kita mesti memacu haluan kita sendiri ke hadapan. Secara kolektif dan sebagai ASEAN, barulah kita disegani,” katanya dalam ucaptama pada Pemukiman Menteri Luar ASEAN, hari ini.

Mohamad berkata, ASEAN secara keseluruhannya merupakan kuasa ekonomi kelima terbesar dunia dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$3.8 trilion (RM17.12 trillion) serta mempunyai populasi seramai 677 juta orang.

Katanya, ekonomi ASEAN mempunyai potensi besar untuk terus berkembang secara berterusan dengan terus mempromosikan perdagangan dan pelaburan serantau secara bersama, sekali gus melindungi negara ahli daripada kejutan di masa depan.

“Kita juga berhadapan bencana alam akibat perubahan iklim dan kecemasan kesihatan yang dijangka berlaku lebih kerap. Kita mesti memastikan Asia Tenggara bersiap sedia menghadapi krisis.

“Ini membawa kita ke titik seterusnya iaitu ancaman rentas sempadan daripada perubahan iklim. Sebagai salah satu rantau yang paling terdedah, ASEAN mesti terus menanganinya bersama.

“Suara kolektif kita dalam rundingan global seperti Konvensyen Rangka Kerja PBB Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) amat penting untuk memastikan keperluan kita didengari dunia,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, gangguan global dihadapi sejak awal 2020 merangkumi pandemik, sekatan pergerakan, konflik, pemindahan besar-besaran, bencana alam, revolusi teknologi dan kejutan ekonomi.

Katanya, perkara itu adalah norma baharu yang menyerlahkan kerapuhan sistem dunia.

“Kita mesti mengamalkan pendekatan berpandangan jauh dan membayangkan bukan sahaja untuk 12 bulan akan datang, tetapi untuk tahun-tahun seterusnya.

“Matlamat bersama adalah untuk memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini dan seterusnya menghadapi sebarang ketidakstabilan yang akan datang, dengan kesejahteraan dan kehidupan rakyat ASEAN sebagai terasnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya