HULU TERENGGANU: Keputusan seorang warga emas dari Kampung Pauh, di sini, menceburi bidang ternakan rusa selepas kecewa dengan perusahaan perabot rotan membuahkan hasil apabila mampu raih pendapatan sehingga RM15,000 sebulan.
Ghazali Mat, 71, berkata, ia bermula tujuh tahun lalu dengan hanya lima ekor rusa dan kini mempunyai lebih 200 ekor yang diternak di kawasan belakang rumahnya.
Katanya, berbekalkan modal hasil berniaga perabot rotan selama 38 tahun bermula 1979, dia bertekad mencuba nasib menternak rusa walaupun ketika itu cuma berbekalkan minat.
“Saya terpaksa tinggalkan bidang perniagaan perabot berasaskan rotan pada 2017 kerana pelbagai faktor termasuk masalah pekerja serta sukar dapatkan bahan mentah. Menggunakan wang simpanan sebanyak RM18,000 saya beli lima ekor rusa timorensis dari Lenggong, Perak dan beli lagi lima ekor setahun selepas itu.
“Hasil belajar melalui tunjuk ajar serta ilmu penjagaan dan pembiakan dikongsi penternak sedia ada, dalam tempoh lima tahun saya sudah dapat balik modal dikeluarkan pada peringkat awal,” katanya ketika ditemui di Kampung Pauh, di sini.
Menurut Ghazali atau lebih mesra dipanggil Poklie, kini dia memiliki lebih 200 ekor rusa dengan 80 ekor daripada merupakan induk betina dan haiwan itu cepat membiak berbanding ternakan lain seperti lembu atau kambing.
Katanya, hasil jualan rusa mampu meraih pendapatan lumayan sehingga ada ketikanya mencecah RM15,000 sebulan namun ia tidak menentu serta bermusim.
“Ada ketikanya cuma dapat sekitar RM2,000 sahaja sebulan. Pendapatan meningkat pada musim-musim tertentu seperti bulan puasa dan hari raya. Buat masa ini, selain jualan runcit RM90 sekilogram daging dan seekor rusa hidup dijual antara RM2,000 hingga RM6,000, pasaran juga sehingga ke hotel-hotel serta kapal minyak.
“Rusa-rusa ini diberi makan palet, rumput serta buah-buahan rosak dibeli secara borong. Kos makanan sahaja RM6,000 sebulan, ada ketikanya saya bergantung sumber jualan sawit bagi tujuan ini,” ujarnya.-UTUSAN.