PETALING JAYA: Kerajaan didesak bertindak segera termasuk mengeluarkan notis penangguhan perjalanan ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) buat sementara waktu untuk semua rakyat Malaysia yang merancang ke sana.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, notis tersebut perlu dikeluarkan untuk mereka yang tidak mempunyai keperluan mendesak ke sana termasuk untuk melancong.
Selain itu katanya, Kementerian Luar juga perlu mengeluarkan notis berjaga-jaga untuk rakyat Malaysia yang menetap di kawasan yang terjejas akibat kebakaran di Los Angeles.
“Kebiasaannya Kementerian Luar akan mengeluarkan nasihat berkaitan perjalanan rakyat kita apabila berlaku sesuatu sebagaimana di Los Angeles.
“Ia sama ada melibatkan mereka yang telah merancang ke sana atau mereka yang sudah pun berada di sana sebagai persediaan dengan sebarang kemungkinan,” katanya.
Laporan media tempatan dan antarabangsa melaporkan kebakaran di dua hutan besar yang melanda Los Angeles dari arah timur dan barat masih belum dapat dikawal sehingga kelmarin.
Kebakaran Palisades antara Santa Monica dan Malibu di sebelah barat bandar serta kebakaran Eaton di timur berhampiran Pasadena kini dianggap sebagai paling ‘merosakkan’ dalam sejarah Los Angeles, memusnahkan hampir 12,500 hektar tanah yang menjadikan seluruh kawasan kejiranan menjadi abu.