Lelaki bakar sembilan buah rumah di Baling kerana marah dibuli

Lelaki bakar sembilan buah rumah di Baling kerana marah dibuli

FISOL Salleh menunjukkan gambar kejadian kebakaran sembilan buah rumah di Kupang, Baling pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar. UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis berjaya memberkas seorang pemuda berusia 23 tahun yang disyaki terlibat membakar motosikal sehingga menyebabkan sembilan buah rumah hangus dalam kejadian berasingan di Kupang, Baling.

Lelaki yang merupakan penduduk tempatan itu ditahan polis kira-kira pukul 12.30 tengah malam kelmarin, hasil maklumat dan risikan yang dilakukan sejak kejadian pertama pada 24 Disember lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, tiada unsur mistik dalam kesemua kebakaran itu sebaliknya suspek dipercayai berbuat demikian kerana dendam akibat sering dibuli di tempat kerja sebelum ini serta dipulaukan penduduk setempat.

Katanya, suspek yang masih bujang kini tidak bekerja selepas dia berhenti kerja di sebuah kilang getah di Kupang, kira-kira tiga bulan lalu.

“Dengan tertangkapnya suspek, pihak polis telah berjaya menyelesaikan kesemua sembilan kes khianat dengan api yang disyaki telah dilakukan oleh suspek.

“Suspek kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (Akta 574),” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Fisol berkata, modus operandi suspek adalah membakar motosikal dengan cara menuangkan minyak tanah ke atas tempat duduk kenderaan itu dan menyalakan api menggunakan pemetik api.

Katanya, secara keseluruhan sebanyak 18 motosikal, dua kereta dan sembilan buah rumah terlibat dalam kejadian itu yang menyebabkan kerugian hampir RM770,000.

“Empat mangsa dikenali oleh suspek dan selebihnya adalah sasaran rambang penduduk di sekitar Kupang. Dia tidak memiliki sebarang rekod lampau dan bergerak seorang diri menaiki motosikal ketika melakukan perbuatan itu,” ujarnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, penduduk sekitar Kupang bimbang dengan kejadian kebakaran rumah yang berlaku secara berturutan sejak 23 Disember lalu.

Pelbagai andaian dibuat termasuk mengaitkan kejadian itu dengan unsur mistik sehingga memaksa penduduk untuk berjaga malam bagi mengawal sekitar kampung mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN