SHAH ALAM: Kementerian Dalam Negeri akan menghantar pegawai dan kakitangannya untuk mempelajari kemahiran penggunaan kecerdasan buatan (AI) di universiti termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau menandatangani perjanjian dengan Mohamed Bin Zayed (MBZ) University of Artificial Intelligence bagi pembiayaan pengajian.
“UiTM sudah ada fakulti AI, saya minta tolong, hendak hantar pegawai-pegawai di KDN, kalau perlu bayar yuran, saya suruh Ketua Setiausaha (KSU) cari duit. Saya hendak bawa pegawai bergerak ke situ.
“Kalau boleh mulakan di KDN, saya yakin pasukan KSU, ketua-ketua agensi akan sambut sepenuhnya, mula dahulu. Mula dengan main hour training, reach out dengan fakulti AI di UiTM, kita ada juga di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Jadi, impian saya, bukan sahaja fresh graduates, pasca siswazah, sekarang mereka ada 428 pasca siswazah, mereka akan buka kepada siswaazah dan peluang di situ ada sebab kita antara yang paling awal adakan perjanjian dan kesediaan mereka untuk terima permohonan pembiayaan,” katanya ketika berucap pada program Syarahan Menteri anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, hari ini.
Tambahnya, menerusi lawatannya ke negara tersebut, beliau memberitahu kakitangan Abu Dhabi National Air Company menghantar kakitangannya untuk mempelajari AI selama 35,000 jam.
“Ilmu AI itu bersalin (berubah) selang dua hari, bulan Disember lalu selepas kami (kementerian) balik dari pemukiman di Pulau Mabul, mereka hasilkan AI Tools tidak kurang daripada 12, ilmu baharu, selang sehari,” ujarnya.
Malah, Saifuddin Nasution memberitahu, perkembangan AI di negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan China terlalu pantas dan diibaratkan perubahannya dalam sehari meemberi kesan seperti sebulan.
“Bermaksud, hari ini kalau kita tertinggal sebulan, percayalah orang yang belum bermula sudah tertinggal 10 tahun. Jangan cakap tentang orang tertinggal, kita cakap tentang kita yang hendak embrace,” jelasnya. – UTUSAN