KDN pertimbang kembali benarkan kemasukan pekerja asing

KDN pertimbang kembali benarkan kemasukan pekerja asing

Pekerja asing
SAIFUDDIN Nasution Ismail berucap pada Siri Syarahan Menteri: Madani Sedang Direalisasi, Dekad Baharu Malaysia dekat Dewan Konsert Seri Budiman di UiTM Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan akan mempertimbangkan permohonan baharu pengambilan pekerja asing yang dibekukan sementara ketika ini bagi sektor perladangan negara khususnya kelapa sawit.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pertimbangan tersebut diteliti selepas terdapat permintaan daripada Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johar Abdul Ghani berikutan terdapat masalah kekurangan pekerja dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) itu.

“Sejak bulan September tahun lalu, kita sudah tutup, tiada lagi permohonan pekerja asing yang baharu. Namun Datuk Johari kata bukalah untuk pekerja ladang terutama di Sabah dan Sarawak yang sedang menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja bagi memetik buah.

“(Bagaimanapun) Saya cakap tunggu dulu dan meminta beliau memberikan maklumat jumlah tenaga kerja berdasarkan keperluan syarikat dan akan membuat tapisan. Sebagai contoh pihak berkuasa berkaitan sawit akan tapis dan sahkan, kemudian kita bermesyuarat,” katanya ketika berucap pada Siri Syarahan Menteri: Madani Sedang Direalisasi, Dekad Baharu Malaysia, hari ini.

Tambahnya, kementeriannya sudah pun memaklumkan kepada Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bagi memasukan perkara berkaitan pekerja asing dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Saifuddin memaklumkan pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing diteruskan sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak selepas jumlah pekerja asing setakat 15 September lalu dikesan menghampiri siling yang ditetapkan.

Saifuddin turut melontarkan pandangan terhadap keperluan membawa masuk pekerja asing ke negara ini jika rakyat bersedia untuk bekerja dalam sektor tersebut.

“Perlu atau tidak pekerja asing dibawa ke negara kita pada ketika ini? Untuk petik sawit, kerja di kilang, sektor pembinaan. Kalau kita kata tak perlu, berapa ramai anak muda kita sama ada Melayu, Cina dan India yang sanggup ikat batu bata, petik sawit di ladang, memandu kren.

“Kalau kita berfikir dengan waras, nescaya kita fikir kita perlukan. Kalau tidak (lakukan), lima sektor ekonomi, tidak berjalan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya