Kastam patahkan cubaan seludup 1.7 tan ketum - Utusan Malaysia

Kastam patahkan cubaan seludup 1.7 tan ketum

ISMAIL Hashim (tiga dari kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam sidang akhbar di pejabat Kastam cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Cubaan sindiket menyeludup daun ketum seberat 1,700 kilogram dianggarkan bernilai RM68,000 ke negara jiran digagalkan menerusi serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri di sekitar perairan Pulau Ketam, Kuala Perlis, Sabtu lalu.

Dalam kejadian sekitar pukul 10 malam itu, sepasukan anggota kastam cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis telah mengejar sebuah sampan fiber tanpa nombor pendaftaran yang sedang bergerak laju di sekitar perairan pulau tersebut.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, pasukan penguatkuasa telah menghampiri sampan berkenaan dan mengarahkan jurumudinya berhenti bagi melakukan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, penyeludup berkenaan bertindak memecut laju ke kawasan air cetek berselut di kawasan itu dan dua lelaki dikesan terjun ke dalam air lalu berenang ke darat bagi melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat kastam cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis, di sini hari ini.

Ismail berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan 170 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 1,700 kilogram dengan nilai RM68,000.

Beliau berkata, selain itu, sebuah sampan bersama enjin bernilai RM50,000 turut dirampas.

“Daun ketum berkenaan dipercayai diambil dari Perlis dan Kedah untuk diseludup ke Thailand bagi memenuhi pasaran di negara jiran,” katanya.

Katanya, sindiket penyeludupan juga gemar memilih laluan air berikutan ketiadaan pintu sempadan dan keadaannya juga terbuka bagi memudahkan mereka menyusup masuk ke negara ini.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya