ALOR SETAR: Seorang lelaki kesal dengan sebuah klinik swasta di bandar raya ini apabila anak lelakinya didakwa tidak menerima layanan sepatutnya selepas mengalami pendarahan teruk apabila berkhatan semalam.
Ahmad Mudzakkir Ahmad Mukri, 37, berkata, anaknya berstatus orang kurang upaya (OKU) intelektual berusia 11 tahun itu menyertai program berkhatan beramai-ramai yang dianjurkan sebuah masjid.
Katanya, seramai 50 kanak-kanak mendaftar pada program itu dengan bayaran RM100 yang sebahagiannya ditanggung pihak masjid dan anaknya mendapat giliran ke-48 untuk dikhatankan oleh doktor yang ditugaskan.
“Selesai berkhatan kira-kira 10 minit, anak dibenarkan pulang dan saya bawa balik ke rumah kami di Mergong. Kami sampai kira-kira 4.30 petang, semuanya berjalan baik sehingga 30 minit kemudian anak jerit beritahu darah banyak pada alat sulitnya.
“Saya sangka hanya sedikit tetapi apabila diperiksa keadaan sangat teruk dengan darah mengalir laju tanpa henti. Saya telefon pihak klinik terlibat maklumkan perkara itu dan mereka minta bawa dia ke klinik.
“Setiba di klinik itu, doktor membuka semula jahitan dan cuba untuk menghentikan darah tetapi tidak berjaya sebelum mereka menjahit semula dan menyuruh kami ke cawangan klinik itu di Jitra,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, dia bagaimanapun meminta doktor di klinik itu membuat surat rujukan untuk terus membawa anaknya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), namun pihak klinik bertegas menyuruhnya ke Jitra kerana kononnya terdapat mesin yang boleh menghentikan darah.
Ujarnya, keadaan menjadi semakin panik apabila doktor di klinik tersebut juga gagal menghentikan darah selain membuka sekali lagi jahitan pada alat sulit anaknya.
“Doktor kata tak boleh buat apa dah dan suruh kami ke HSB pula, kami minta surat rujukan untuk memudahkan proses tetapi mereka enggan pada awalnya termasuk mempersoalkan keperluan surat itu sebelum akhirnya menyediakannya setelah didesak.
“Bayangkan anak saya menangis meronta kerana terlampau sakit ketika itu kerana darah masih mengalir, jahitan pula dibuka berkali-kali dan kira-kira 1 pagi baru kami tiba di HSB setelah turut tersangkut dalam kesesakan jalan raya,” katanya.
Ahmad Mudzakkir berkata, setiba di HSB, doktor di Jabatan Kecemasan terpaksa menjahit semula bagi menghentikan darah sebelum memutuskan untuk melakukan pembedahan pagi tadi.
“Alhamdulilah keadaan anak kini stabil setelah pembedahan lebih sejam. Cuma saya kesal dengan pihak klinik terbabit kerana dari awal kami mahu bawa ke HSB tetapi mereka tetap suruh ke cawangan di Jitra. Malah kami belum tahu punca pendarahan teruk itu,” katanya.
Justeru, satu laporan polis dibuat terhadap kecuaian pihak klinik terbabit di Balai Polis Kota Setar, pada pukul 11.56 pagi hari ini sebelum bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Kami tidak tahu bagaimana masa depan anak nanti kerana kecederaan itu melibatkan anggota badan yang penting apatah lagi dia seorang OKU. Malah tindakan ini juga sebagai pengajaran kepada semua agar tidak berulang kes sama di masa hadapan,” katanya.