JSJN tumpaskan 245 sindiket dadah sepanjang 2024

JSJN tumpaskan 245 sindiket dadah sepanjang 2024

KHAW Kok Chin (tiga dari kiri) bersama Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (dua dari kiri) menunjukkan sejumlah dadah dan senjata api yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam, Selangor, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan 245 sindiket dadah dan menahan seramai 753 suspek, termasuk 44 anggota daripada 12 fasiliti pemprosesan dadah sepanjang tahun 2024.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), rampasan sepanjang tahun itu turut melibatkan 68,179 kilogram pelbagai jenis dadah, 63,005 liter dadah cecair dan 15 pokok ganja dengan nilai keseluruhan berjumlah RM388 juta.

LEE LAM THYE

Pengerusi Perikatan Keselamatan Komuniti Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, usaha gigih JSJN dalam memerangi ancaman dadah yang disifatkan sebagai ‘musuh nombor satu masyarakat’ harus diberi perhatian.

“Dadah merupakan masalah sosial global dan di negara ini. Ramai anak muda terjerat dalam ketagihan dadah mengakibatkan keruntuhan institusi keluarga.

“Oleh itu, perjuangan menentang dadah adalah misi jangka panjang yang memerlukan komitmen padu pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Lam Thye, salah satu pencapaian tertinggi JSJN adalah pada 16 Januari lalu, apabila Pengarahnya, Khaw Kok Chin mengetuai operasi besar-besaran di Selangor yang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah Taiwan.

Operasi itu menyaksikan penahanan 12 individu, termasuk 10 lelaki warga Taiwan, seorang lelaki tempatan, dan seorang wanita warga Thailand.

Polis turut merampas dadah bernilai RM118 juta serta senjata api, termasuk 15 pistol, satu senapang submesingan (SMG), dan 900 butir peluru.

Dalam pada itu, Lam Thye turut menekankan bahawa walaupun Malaysia mempunyai undang-undang antidadah yang tegas termasuk hukuman mati bagi jenayah berkaitan dadah, aktiviti pengedaran terus berleluasa akibat keuntungan lumayan.

“Malaysia berada berhampiran Segitiga Emas, kawasan pengeluaran candu terbesar dunia.

“Ia menjadikan negara kita sasaran strategik bagi sindiket antarabangsa untuk menyeludup dadah melalui laluan darat dan laut,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan memperkukuhkan kawalan di sempadan darat, laut, dan udara, khususnya di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya