KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merancang menubuhkan pasukan tindakan khas bagi membantu menyelesaikan isu-isu yang tidak dapat diselesaikan di peringkat negeri dan tugasan lebih kritikal serta berbeza dengan bahagian penguatkuasaan agensi terbabit.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun ini juga bagi mewujudkan pasukan tindakan khas terbabit.
“Mungkin kita akan tempatkan pasukan khas ini di ibu pejabat dan ia akan membantu untuk isu-isu yang lebih kritikal yang lebih sukar dikendalikan oleh JPJ negeri.
“Jadi bila isu atau masalah yang sukar ditangani oleh JPJ negeri boleh diambil alih pasukan khas ini kerana di JPJ kita masih tidak mempunyai pasukan seperti itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke JPJ Negeri Pahang di sini hari ini.
Tambah Aedy Fadhly, pasukan tindakan khas ini dijangka dianggotai oleh anggota JPJ yang kompeten dan diberikan latihan khas berbeza dengan latihan diterima anggota penguatkuasa.
“Yang ini kita sedang cuba tengoklah sebab kita belum lagi membuat perbincangan untuk menyediakan fungsi, tugas, tanggungjawab dan bilangan anggota diperlukan. Itu saya akan balik untuk berbincang dengan pihak pengurusan ibu pejabat dan pasukan sebelum saya bawa proposal ini kepada JPA.
“Semua tertakluk kepada JPA kalau JPA tak setuju, kita tak boleh buat. Kita akan bawa tahun ini tapi kelulusan itu terpulang kepada JPA,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Puspakom boleh menggunapakai prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kenderaan biasa terhadap pemeriksaan kenderaan persendirian elektrik (EV) buat masa ini.
“JPJ menerusi Jabatan Kejuruteraan Automotif sedang meneliti aspek-aspek teknikal spesifikasi kenderaan diperlukan bagi pemeriksaan kenderaan tersebut pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN