Jonker Walk 2.0: Perlu kajian terperinci - Utusan Malaysia

Jonker Walk 2.0: Perlu kajian terperinci

Rais Yasin mengadakan sidang akhbar selepas melancarkan Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka Sempena Op Perayaan Tahun Baharu Cina di Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Cadangan mewujudkan Jonker Walk 2.0 di Jalan Hang Tuah memerlukan kajian terperinci serta mengambil kira pelbagai aspek yang perlu diberikan keutamaan.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, setakat ini kerajaan negeri tidak menerima sebarang cadangan mengenai perkara tersebut.

“Saya yakin jika cadangan itu dibawa kepada kerajaan negeri dan difikirkan baik oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh kenapa tidak.

“Tetapi dalam masa yang sama Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan memang kita galakkan kepada semua produk-produk baharu tetapi perlu dilihat di kawasan yang sesuai.

“Saya rasa perkara tersebut akan dibincangkan ke peringkat kerajaan negeri untuk menilai kesesuaian serta pandangan masyarakat setempat,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka Sempena Op Perayaan Tahun Baharu Cina di Dataran Ayer Keroh di sini
malam tadi.

Beliau diminta mengulas mengenai cadangan cadangan DAP untuk mewujudkan Jonker Walk kedua di Jalan Hang Tuah selepas kejayaan pasar malam yang turut mendapat jolokan
‘China Town’ di Jalan Hang Jebat itu sejak 25 tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong dilaporkan berkata, kawasan yang mungkin boleh dikenali sebagai Jonker Walk 2.0 itu berpotensi merancakkan lagi ekonomi peniaga dan masyarakat setempat kerana mempunyai ruang siar kaki yang lebih luas berbanding Jonker Walk sedia ada.

Rais berkata, walaupun kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha untuk mempelbagaikan produk perniagaan khususnya berkaitan pelancongan, namun setiap keputusan perlu dilakukan secara berhati-hati serta mengambil pandangan semua pihak terutama peniaga yang sudah lama berada di Jalan Hang Tuah.

Jelasnya, ramai pelancong mengetahui Jonker Walk juga tidak kurang hebatnya kerana ia sudah menjadi satu produk pelancongan mengharumkan nama Melaka hingga ke peringkat antarabangsa dan lokasi sedia ada itu telah dilakukan banyak penambahbaikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya