Johari mulakan lawatan rasmi ke Pakistan, hadiri Persidangan Minyak Makan - Utusan Malaysia

Johari mulakan lawatan rasmi ke Pakistan, hadiri Persidangan Minyak Makan

Datuk Seri Johari Abdul Ghani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan memulakan lawatan rasmi ke Pakistan bagi merasmikan Persidangan Minyak Makan Pakistan (PEOC) di Karachi yang dijadualkan pada 11 Januari.

PEOC merupakan acara tahunan utama bagi sektor minyak makan yang menyatukan pengeluar, peniaga, pembeli, dan penggubal dasar dari seluruh rantau ini.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata, persidangan tahun ini akan menjadi platform penting untuk meneroka perkembangan industri, membincangkan amalan mampan dan mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam perdagangan minyak makan.

“Johari dijangka menyampaikan ucaptama semasa majlis perasmian dan memberi tumpuan kepada kepimpinan Malaysia dalam amalan minyak sawit mampan, peningkatan permintaan global untuk minyak masak dan produk turunannya serta kepentingan ekonomi minyak sawit kepada kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau juga akan menekankan manfaat bersama daripada perdagangan yang dipertingkatkan, inovasi dan kerjasama serta mengesahkan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan hubungan jangka panjang dengan Pakistan dalam industri minyak sawit dan minyak makan.

Johari dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Menteri Perusahaan dan Pengeluaran Pakistan untuk memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua negara dan pemimpin perniagaan dalam sektor minyak sawit.

“Mesyuarat ini akan memfokuskan peluang Malaysia untuk menguasai semula bahagian pasaran dalam sektor minyak dan lemak Pakistan serta memupuk strategi kerjasama untuk meningkatkan daya saing minyak sawit Malaysia,” katanya.

KPK berkata, Pakistan adalah pengimport minyak sawit ketujuh terbesar Malaysia yang merupakan rakan strategik penting dalam sektor minyak makan.

“Lawatan tersebut bertujuan mengeratkan kerjasama perniagaan antara Malaysia dan Pakistan serta mempromosikan minyak sawit Malaysia sebagai produk yang mampan dan berkualiti tinggi.
“Dengan permintaan global yang semakin meningkat terhadap minyak makan yang mampan dan berkualiti tinggi, Malaysia terus komited untuk mengekalkan kedudukan sebagai pembekal yang konsisten dan dipercayai,” katanya.

KPK berkata, lawatan dan penyertaan Johari dalam PEOC menunjukkan dedikasi negara untuk membina kerjasama antarabangsa yang kukuh, menggalakkan perdagangan bernilai tambah dan memacu kemajuan dalam industri minyak sawit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya