KOTA TINGGI: Tidak mahu terus menanggung rugi, penduduk di Taman Aman dan Taman Mawai lebih bersedia berdepan bencana banjir yang berlaku kali ini.
Seorang penduduk, Harun Samsudin, 65 berkata dia yang sudah menetap di Taman Aman sejak 25 tahun lalu berkata, kebanyakan penduduk telah membuat persediaan banjir sejak bulan Oktober lalu.
Pesara tentera itu berkata, taman berkenaan memang menjadi kawasan banjir pada setiap tahun sama ada hujung tahun atau pun awal tahun.
“Hujan yang berterusan sejak pagi semalam menyebabkan taman dinaiki air secara mendadak sejak pukul 7 malam.
“Biasa banjir di sini berlaku pada hujung tahun tapi tahun ini berlaku pada awal tahun hingga cecah paras dada.
“Pendek kata, bulan 10 dan 11 kami sudah buat persiapan, barang disimpan di tempat tinggi. Penduduk jangan cakap tak sangka, tak sangka air naik kerana memang tiap-tiap tahun taman ini banjir, ” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Bagi Rozi Kasim, 40, dia yang baru dua bulan menetap di Taman Aman terkejut kerana air naik dengan mendadak dalam tempoh satu jam.
“Sebelum ini saya duduk di Kampung Jawa, baru pindah sini kira-kira dua bulan lepas. Semalam, saya terkejut apabila dalam pukul 7 air sudah mulai masuk rumah.
“Saya dan isteri hanya selamatkan mana yang mampu dan ada juga yang tidak sempat diselamatkan seperti peti ais, mesin basuh kerana air naik dengan cepat sebelum kami bermalam di rumah mentua, pagi ini baru kami berpindah ke PPS,” katanya.