SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan melaksanakan audit dan siasatan dalaman terhadap semua agensinya susulan kewujudan isu pertukaran hak milik tanah secara tidak sah di Selangor, baru-baru ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan tersebut dibuat untuk mengenal pasti sama ada masalah-masalah serupa yang berlaku dalam mana-mana agensi kerajaan negeri.
“Kita akan laksanakan kerana timbul perkara ini. Kita terima saranan (yang diberikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman) supaya dilaksanakan audit di jabatan lain.
“Ia untuk kita kenal pasti ada berlaku atau tidak perkara itu (dalam agensi lain),” katanya selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Menteri Besar Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dilapor menyarankan agensi dalam kerajaan Selangor mengendalikan audit serta siasatan dalaman jika terdapat pejabat sama di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di daerah lain turut terbabit dalam kegiatan kartel pindah tanah.
Pengarah JSJK, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, polis bersedia menjalankan siasatan jika ada bukti atau maklumat mengaitkan PDT lain dengan kes jenayah sama.
Jelas Amirudin, prosedur operasi standard (SOP) sistem pengurusan tanah secara dalam talian (e-tanah) akan diperketatkan bagi memudahkan pihak pentadbiran mengesan sekiranya berlaku salah guna kuasa.
“Kita boleh kenal pasti siapa yang masuk dalam sistem dan bila masanya (guna sistem). Kita wajibkan mereka daftar nama pengguna supaya kemasukan mereka dapat dikesan.
“Sistem ini ada risiko juga. Jadi kalau kita dapat urus dengan baik, kita akan dapat kesan,” tegasnya. – UTUSAN