PETALING JAYA: Perdana Menteri percaya isu berkaitan Petronas dan Petros mengenai hak pengagihan gas di Sarawak sudah diselesaikan menerusi beberapa siri rundingan termasuk pertemuan beliau dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak ada kemusykilan dalam perkara-perkara dasar yang perlu dicurigakan kerana Akta Kemajuan Petroleum 1974 terpakai untuk seluruh negara dan perkara itu diterima kerajaan negeri Sarawak dan Petros.
“Tetapi kita (Kerajaan Persekutuan) tetap terima kenyataan Petros diwujudkan untuk beri peluang kepada Sarawak untuk meneroka program cari gali dan pengagihan gas di Sarawak,” katanya pada sidang media di akhir lawatan beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.
Anwar berkata, Ordinan Pengagihan Gas 2016 Sarawak tidak akan menggantikan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang Persekutuan yang lain, justeru, kedudukan Petronas kekal tidak terjejas.
Terdahulu, Anwar tiba di UAE pada Ahad lalu untuk lawatan kerja selama tiga hari dan bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) serta meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara kedua-duanya.
Ia merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke UAE sejak Oktober 2023 dan lawatan pertama beliau ke luar negara sejak Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.