GEORGE TOWN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu perkauman dan fahaman sempit tidak seharusnya menjadi fokus rakyat kerana ia tidak akan membantu negara mencapai kemajuan pada masa akan datang.
Menurut Anwar, rakyat tidak seharusnya terperangkap dengan isu remeh seperti ketiadaan masjid dalam video promosi pelancongan, yang disifatkannya tidak memberi nilai tambah kepada pembangunan negara.
“Kita mahu rakyat tumpu kepada hal yang besar, bukan soal video pelancongan yang tidak nampak gambar masjid sehingga menjadi pertarungan hebat. Video pelancongan Kelantan pun tidak ada nampak masjid.
“Kalau ada kekurangan, beri cadangan untuk diperbaiki.Tetapi inilah dia, hal-hal ini (isu kaum) dibawa untuk meretakkan hubungan antara satu sama lain dan main sentimen kaum, kebencian satu sama lain,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Projek LRT Laluan Mutiara di Bandar Sri Pinang, di sini hari ini.
Sebelum ini, video montaj Tahun Melawat Malaysia (TMM)2026 menerima kritikan termasuk daripada pemimpin pembangkang yang menggesa MOTAC menarik balik video berkenaan kerana didakwa cuai berikutan tiada elemen masjid dipaparkan sedangkan terdapat paparan rumah ibadat seperti gereja dan kuil.
Anwar berkata, perkara-perkara seperti perbalahan mengenai isu kaum, daerah, dan negeri hanya akan mengalihkan perhatian daripada usaha penting membangunkan negara serta menjalin hubungan baik dengan kuasa besar dunia seperti China, Amerika Syarikat, dan Eropah.
”Usah berhempas-pulas bergaduh mempertahankan penyelewengan, pemborosan, atau rasuah besar.
”Semua ini tidak akan membantu negara kita. Sebaliknya, kita perlu menumpukan kepada perkara besar seperti hubungan baik dengan negara lain dan menyelesaikan isu serantau,” katanya.
Anwar berkata, sekiranya rakyat kekal fokus dan mempertahankan asas-asas pembangunan tanpa dipengaruhi sentimen kaum, Malaysia akan mencipta sejarah sebagai negara hebat di rantau ini.
Selain itu, Anwar berkata, beliau tidak akan terganggu dengan tuduhan-tuduhan yang dibuat ke atasnya sebaliknya menumpukan usaha untuk memajukan semua negeri dan bukan hanya Pulau Pinang semata-mata.
“Walaupun hari ini kita bercakap isu LRT, tetapi kita tidak boleh lari daripada kerangka kita yang besar. Walaupun ada yang kata, kalau (saya) bagi (projek) di Pulau Pinang, saya jaga Cina di sini, saya takut dengan DAP.
“Saya tidak terganggu dengan pandangan itu kerana saya fikir, dengar semua pandangan, di Kedah begini, di Kelantan begini, di Johor begini, di Pahang, Sabah dan Sarawak, saya kata ya Pulau Pinang memerlukan LRT.
“Jika nak dengar semua kata-kata penghasut ini, siapa pun tidak akan untung, siapa pun tidak akan makmur dan negara ini akan mundur dengan pepecahan antara kaum, menghasut dalam isu agama sekali gus akan merugikan negara,” katanya.