Isu periksa telefon bimbit: Ketua Polis Negara akan bertemu Suhakam

Isu periksa telefon bimbit: Ketua Polis Negara akan bertemu Suhakam

SAIFUDDIN Nasution Ismail meninjau persiapan sempena 'Asia International Security Summit & Expo' (AISSE'25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. -UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain akan bertemu dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi memberikan perspektif tepat mengenai hak polis memeriksa telefon bimbit orang awam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mahu isu berkenaan difahami dengan lebih tepat dan mengikut sudut pandangan keselamatan.

“Selepas pertemuan itu (polis dan Suhakam), saya berharap Suhakam dapat membantu polis dalam mendidik masyarakat mengenai perkara itu.

“Kami ingin menjelaskan bahawa pihak polis tidak boleh sama sekali menyemak telefon bimbit orang kecuali ada asas untuk berbuat demikian,” katanya selepas meninjau persiapan penganjuran The Asia International Security Summit & Expo 2025 (AISSE’25) di sini hari ini.

Katanya, perbincangan antara polis dan Suhakam itu juga penting supaya tiada pelanggaran dari aspek hak asasi manusia.

Saifuddin berkata, polis bukan satu pasukan yang boleh sewenang-wenangnya menyemak telefon orang awam, sebaliknya ia dilakukan dengan tertib (ikut peruntukan undang-undang).

“Jangan dilihat bahawa tindakan ini seolah-olah polis sebagai satu pasukan penguatkuasa yang tak peduli langsung soal peruntukan undang-undang,” katanya.

Katanya, orang awam boleh membuat laporan jika pihak polis bertindak memeriksa telefon bimbit tanpa asas kukuh.

Semalam, Suhakam dalam kenyataannya menegaskan pihak polis tidak boleh sewenang-wenangnya memeriksa telefon bimbit seseorang ketika sekatan jalan raya kerana ia dianggap melanggar hak asasi manusia.

Sebelum ini, Razarudin dilaporkan berkata, polis berhak memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau mendapat maklumat seseorang itu disyaki melakukan kesalahan.

Menurutnya, hak itu termaktub dalam Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah, iaitu bagi maksud memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam seseorang dan dibenar berdasarkan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya