KUALA LANGAT: Isu semakan garis panduan penganjuran konsert akan dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada Rabu ini untuk menilai keperluan penambahbaikannya susulan penangguhan semenara kelulusan permit oleh polis.
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, pemeriksaan lebih ketat perlu dilakukan oleh penganjur termasuk menggunakan alat pengimbas bagi mengelakkan insiden pengedaran dadah berlaku dalam konsert.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mengadakan pertemuan dengan polis dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selepas mesyuarat MMKN bagi menentukan garis panduan yang ditambah baik.
“Sebagai contoh, saya pernah pergi ke konsert Kitaro di Genting Highland, semua diperiksa menggunakan pengimbas, dompet pun diperiksa. Kali ini mungkin urin pun kena periksa, mungkinlah itu antara syor supaya penagih tak buat kacau atau dibenarkan masuk.
“Kita akan bincang dalam mesyuarat MMKN pada 8 Januari ini dan lihat perkara yang berbangkit, Mohd. Najwan Halimi (Exco Belia Sukan dan Keusahawanan) pun akan ada. Kalau perlu kita akan adakan mesyuarat dengan polis dan PBT untuk kita tengok kembali kenapa perkara itu terjadi, mana yang kita boleh tambah baik,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sesi Libat Urus Penyelarasan dan Penyeragaman Amalan Baik PBT (Selangor Greater Klang Valley)
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan empat maut dan dua dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat mengambil pil ekstasi ketika menghadiri konsert Pinkfish pada ambang tahun baharu, Selasa lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis merakam keterangan daripada 15 individu sehingga Sabtu lalu bagi membantu siasatan dan kesemua individu tersebut merupakan rakan kepada mangsa yang dipercayai hadir ke konsert berkenaan.
Mohd. Najwan ketika ditemui sebelum ini memaklumkan, beliau mengambil maklum serta berasa kesal dengan kejadian tersebut dan akan berbincang dengan Suee Lim bagi menyemak garis panduan penganjuran konsert.
Suee Lim kemudian memaklumkan, terdapat sebuah konsert terpaksa dipindahkan ke Kuala Lumpur apabila penganjurnya tidak dapat memenuhi arahan penangguhan kelulusan permit berikutan ia dijadualkan berlangsung pada hujung minggu ini.
“Pada 11 Januari ini ada satu konsert yang dipindahkan dari Sunway Lagoon ke Kuala Lumpur, sebab masa terlalu suntuk, seminggu sahaja. Jadi, oleh kerana kita ada arahan daripada polis mungkin disebabkan keselamatan dan sebagainya.
“Jadi mereka tiada pilihan terpaksa ke sana. Tiada tempoh masa, tetapi bergantung kepada perbincangan, kalau polis rasa boleh kawal mungkin boleh lepaskan,” ujarnya. – UTUSAN