Imam didakwa terima rasuah urus daftar nikah di Perlis

Imam didakwa terima rasuah urus daftar nikah di Perlis

TERTUDUH (tengah) yang didakwa atas tujuh pertuduhan menerima suapan berjumlah RM26,300 bagi memproses pendaftaran pasangan bernikah di luar negara di Mahkamah Sesyen, Kangar, Perlis, hari ini. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang imam sebuah masjid di Kangar didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tujuh pertuduhan menerima suapan berjumlah RM26,300 bagi memproses pendaftaran pasangan bernikah di luar negara.

Mohd. Isa Abdul Karim, 53, mengaku tidak bersalah atas ketujuh-tujuh pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Isa didakwa menerima rasuah sebagai upah bagi memproses pendaftaran perkahwinan luar negara di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) yang tidak mengikut prosedur di bawah Enakmen 7 – Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2006.

Dia didakwa mengambil upah berjumlah RM26,300 bermula dari 5 Disember 2022 sehingga 24 Oktober 2023.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Perlis, Sujatha Subramaniam manakala tertuduh pula diwakili tiga peguam iaitu Ariff Azami Hussein, Zuhair Ahmad Zakuan dan Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.

Sewaktu prosiding, pihak pendakwaan mencadangkan agar tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM30,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, selain syarat tambahan di mana passport antarabangsa turut diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di SPRM pada setiap bulan.

Peguam tertuduh bagaimanapun memohon pertimbangan mahkamah agar dapat mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 memandangkan anak guamnya merupakan seorang imam dan mempunyai seorang isteri bersama sembilan anak di mana enam darinya masih bersekolah.

Selain itu, tertuduh tidak mengundang sebarang risiko untuk melarikan diri malah dia juga telah memberi kerjasama kepada SPRM sejak Jun 2024.

Susulan itu, mahkamah menetapkan tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan selain perlu menyerahkan passport antarabangsa ke mahkamah dan melaporkan diri pada setiap bulan ke SPRM.

Tertuduh membayar jaminan berkenaan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Februari bagi proses serahan dokumen.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai penahanan reman melibatkan tiga individu termasuk pegawai kanan JAIPs dan seorang imam bagi membantu siasatan kes menerima suapan lebih RM1 juta untuk memudahkan urusan pendaftaran semula pernikahan di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya