TUMPAT: Seorang ibu tidak dapat menahan sebak selepas melihat keterujaan anak perempuannya menerima sumbangan bantuan persekolahan yang baharu selepas kelengkapan sedia ada munsah ditenggelami banjir hujung November tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Jamilah Husien, 50, berkata, banjir yang melanda November lalu disifatkan yang terburuk selepas air mencecah sehingga paras bumbung menyebabkan menyebabkan semua harta bendanya musnah.
“Pakaian sekolah, buku teks, beg dan kasut anak-anak sudah disimpan di tempat tinggi. Namun, semua ditenggelami air.
“Membuatkan hati saya bertambah luluh apabila kesemua barangan persekolahan anak-anak dihanyutkan arus,” katanya ditemui semasa Program Kembali Ke Sekolah anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Mukim Kajang Sebidang/Teluk Jering di Kampung Kajang Sebidang di sini hari ini.
Jamilah memberitahu, sepanjang berbaki penggal persekolahan lalu anaknya terpaksa memakai selipar.
Katanya, dia berbuat demikian kerana mahu membeli kelengkapan itu untuk sesi persekolahan baru yang dibuka 17 Februari ini.
“Alhamdulillah, rezeki saya apabila anak menerima bantuan persekolahan,” ujarnya.
Sementara itu Timbalan Pengerusi KRT Kajang Sebidang / Teluk Jering, Mat Isa Bulat berkata, seramai 758 penerima membabitkan pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Jering, SK Bendang Pak Yong dan Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab Nurul Huda Kajang Sebidang.
“Setiap penerima menerima baucer membeli pakaian sekolah, beg sekolah, alat tulis dan seluar track yang bernilai RM150 seorang.
“Bantuan ini adalah sumbangan antaranya Islamic Relief Malaysia, Batuta Travel & Tour Sdn Bhd, Pertubuhan Amal Peranakan Ibnu Sina Malaysia dan Pasaraya Supermas,” ujarnya-UTUSAN